Wednesday, May 21, 2014

10 TABIAT BIJAK MENABUNG

Apakah sukar untuk mengamalkan tabiat baik menabung? Sebenarnya tidaklah terlalu susah, malah amat mudah! Orang Ringgit kami menemu bual beberapa orang untuk mendapatkan panduan yang baik mengenai tabiat menabung dan panduan itu ingin dikongsi bersama di sini.
#1: Berhenti merokok
“Saya berhenti merokok sejak pengumuman harga baru rokok. Saya berjaya menjimatkan RM20 seminggu.”
--Mohammed, Pengawal Kredit. Umur: 28
Orang Ringgit: Usia lebih panjang dan dapat menjimatkan RM1,040 setahun!

#2: Bawa bekalan ke tempat kerja
“Biasanya saya bawa bekalan makan tengah hari ke tempat kerja tiga kali seminggu. Saya dapat berjimat kira-kira RM30 seminggu.”
--Soh Guat Ha, Akauntan. Umur: 36
Orang Ringgit: Bawa bekalan makan tengah hari dari rumah dan anda boleh menyimpan RM1,560 di bank tahun depan!

#3: Cuci kereta sendiri
“Mengapa hantar kereta untuk dicuci jika anda ada masa untuk melakukannya sendiri pada hujung minggu? Pengusaha tempat cuci kereta mengenakan bayaran RM9 sekali cuci – ini bermakna anda boleh menjimatkan RM36 sebulan dengan mencuci sendiri kereta anda. Kerja mencuci itu pun satu riadah juga dan untuk senaman yang lebih baik lagi, cubalah kilatkan sendiri kereta.”
--Khairi, Eksekutif Pembangunan Perniagaan. Umur: 26
Orang Ringgit: Mencuci dan mengilatkan sendiri kereta anda membolehkan anda menabung RM1,872 setahun yang lama kelamaan menjadi lebih banyak.

#4: Beriadah di rumah
“Saya telah membatalkan keahlian saya di sebuah kelab kesihatan. Saya jarang pergi ke sana untuk beriadah. Saya sudah mula bersenam di rumah. Sebagai sebahagian daripada kegiatan riadah, saya berjalan di sekitar kawasan perumahan saya selama 30 minit sehari. Jumlah yang dapat dijimatkan? RM180 sebulan.”
--Mahinder Kaur, Juruteknik IT. Umur: 25
Orang Ringgit: RM180 sebulan selama 12 bulan – akaun simpanan anda bertambah kukuh dalam masa setahun. Anda akan ada RM2,160 dalam akaun itu.

#5: Bayar bil kredit kad pada masanya
“Sentiasa bayar kad kredit anda pada masanya untuk mengelakkan membayar denda RM5 kerana pembayaran lewat. Kalau boleh, selesaikan baki kad kredit secepat mungkin untuk mengelakkan caj faedah yang tinggi.”
--Ahmad Kamal, Pengatur cara. Umur: 23
Orang Ringgit: Siapa cepat dia dapat. Membayar bil pada masanya dapat menjimatkan RM60 setahun.
#6: Ajar anak anda sendiri
“Saya mempunyai tiga orang anak yang sedang bersekolah, berusia antara tujuh hingga 11 tahun. Saya ajar mereka sendiri daripada menghantar mereka ke pusat tuisyen. Saya dapat jimatkan kira-kira RM360 sebulan.”
--Puan Kannan, penulis bebas. Umur: 42
Orang Ringgit: Sambil menyelam minum air. Ajar anak anda sambil habiskan masa berkualiti bersama mereka dan anda dapat menabung RM4,320 setahun untuk perbelanjaan mereka di kolej nanti.

#7: Lepak di gerai “teh tarik” daripada di restoran yang mahal
“Dulu saya dan kawan-kawan saya suka melepak di restoran yang trendy pada hujung minggu dan kami menghabiskan hampir RM50 setiap minggu. Sekarang, kami lepak di gerai teh tarik dan membelanjakan hanya RM10 seminggu.
--Sofiana, pelajar. Umur: 18
Orang Ringgit: Belilah barangan tempatan dan jimatkan RM2,080 setahun.

#8: Kurangkan penggunaan elektrik
“Keluarga saya sentiasa cuba mengurangkan penggunaan elektrik di rumah kami. Kami gunakan jangka masa untuk alat hawa dingin dan matikan lampu dan barangan elektrik jika tidak digunakan. Kami berjaya mengurangkan bil elektrik daripada RM230 kepada RM120 sebulan.”
--Puan Cheah, suri rumah. Umur: 47
Orang Ringgit: Gunakan bahan tenaga dengan lebih cekap dan tambah simpanan anda kepada RM1,320 setahun.

#9: Rancang pembelian barangan dapur
“Apabila saya membeli barangan dapur, saya sentiasa berbelanja melebihi jumlah yang diperuntukkan dengan membeli keropok, minuman dalam tin dan gula-gula. Tahun ini, saya berusaha untuk mengikut senarai yang saya buat dan berjaya menjimatkan RM80 sebulan.”
--Dina, penjual bunga. Umur: 33
Orang Ringgit: Ikut senarai beli-belah yang anda buat dan jimatkan RM960 setahun.

#10: Jelaskan bil anda menggunakan kemudahan dalam talian
“Saya bayar hampir kesemua bil saya menggunakan kemudahan Internet. Saya dapat menjimatkan RM5 duit pos, RM65 bayaran letak kereta dan minyak sebulan.”
--Rajesh Nair, Jurutera Perisian. Umur: 28
Orang Ringgit: Gunakan kemudahan membayar bil dalam talian dan jimatkan RM840 setahun. Tetapi berhati-hati ketika menggunakan Internet.
Mengurangkan perbelanjaan boleh membantu meningkatkan tabungan anda. Mulakan berdikit-dikit dan bersabarlah. Berikan masa selama 12 bulan dan lihatlah hasilnya. Ketika itu nanti, anda akan memiliki simpanan yang cukup untuk melabur di pasaran modal!



MABUK BERBELANJA!!


Pelabur yang baik bukan sahaja bermaklumat dan membuat keputusan pelaburan yang betul berdasarkan maklumat, tetapi juga bijak menguruskan perbelanjaan. Tiada guna mempunyai portfolio pelaburan yang baik jika anda merosakkannya dengan perbelanjaan yang tidak perlu. Jika anda mengalami mana-mana senario yang dipaparkan di sini, kemungkinan besar anda termasuk dalam kategori “mabuk berbelanja”.
1.
Terlalu banyak jualan MEGA

Sepanjang bulan jualan “MEGA” Malaysia, seluruh negara sakan berbelanja dan anda boleh turut terikut-ikut dengan angin membeli-belah. Lagipun, diskaun sehingga 60 atau 70 peratus hanya datang sekali-sekala dan anda berbelanja tanpa terkawal walaupun ke atas barangan yang tidak perlu.


2.
Gila Kad Kredit

Kini terlalu mudah memperoleh kad kredit dan keinginan berbelanja menggunakan kad sentiasa ada. Berbelanja menggunakan kad kredit selalu membuat anda berasa mempunyai lebih banyak wang daripada yang sebenarnya dan ini mendorong anda berbelanja lebih.


3.
Musim perayaan sudah tiba!

Antara keseronokan berada dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ialah perayaan sepanjang tahun. Sejak beberapa minggu sebelum musim perayaan, orang Malaysia sentiasa memikirkan yang BARU! Anda juga tidak terkecuali. Ini bermakna membeli barangan baru seperti sofa baru, langsir baru atau baju baru, walaupun yang ada masih elok lagi.


4.
Menjadi pengikut setia iklan

Anda menyelak helaian halaman sebuah majalah dan terbaca iklan mengenai telefon bimbit atau fesyen terbaru. Anda tidak dapat menahan diri daripada memiliki barangan terbaru itu dan akhirnya menjadi iklan bergerak bagi barangan tersebut.


5.
Perkataan "merancang perbelanjaan" tiada dalam perbendaharaan kata anda

Anda tidak merancang perbelanjaan atau anda mempunyai perancangan tetapi tidak menghiraukannya. Berbelanja atas barang-barang yang anda suka tanpa mengambil kira sama ada anda mampu membelinya menyebabkan anda mengalami masalah kewangan. Kebanyakan orang mengalami masalah kewangan bukan kerana mereka merancang untuk gagal tetapi kerana gagal merancang. Apakah anda salah seorang daripadanya?
6.
Meneruskan gaya hidup

Jika anda biasa hidup mewah atau sentiasa mengikut trend, anda berasa perlu mengekalkannya walaupun ketika menghadapi masalah kewangan. Jadi, anda terus berbelanja.


7.
Tidak pernah menerima "didikan awal mengenai kewangan"

Tiada siapa yang mengajar anda menguruskan kewangan anda dan anda pula tidak mengambil berat untuk belajar atau meminta bantuan. Moto anda dalam hidup ini mudah sahaja iaitu kerja keras dan berbelanja besar.


8.
Akan dapat bonus yang BANYAK tak lama lagi

Anda mendengar khabar angin mengatakan syarikat tempat anda bekerja akan memberikan bonus yang banyak. Jadi, anda mula berbelanja besar, biasanya dengan menggunakan kad kredit. Akhirnya anda mengalami masalah kewangan kerana bonus yang diperoleh jauh lebih sedikit daripada yang dijangkakan, atau lebih buruk lagi, tiada bonus langsung!
Jika anda seorang yang mabuk berbelanja, anda tidak keseorangan. Banyak orang yang bersusah payah cuba mengawal tabiat berbelanja mereka dan tidak tahu bagaimana hendak membatasinya. Membeli-belah dan berbelanja merupakan petunjuk zaman moden mengenai tabiat lama manusia yang gemar berburu dan berkumpul. Bezanya, kini “perburuan” kita bukan untuk mendapatkan haiwan besar zaman purba, sebaliknya kita ke kompleks membeli-belah untuk “memburu” barangan. Ini merupakan satu masalah tetapi kita boleh mengatasinya.
Langkah paling besar yang boleh diambil ialah menyedari diri kita mempunyai masalah tersebut dan cari jalan atau dapatkan bantuan untuk mengatasinya.
Untuk mereka yang “mabuk berbelanja”, mari kita sambut Tahun Baru ini dengan membuat resolusi untuk merancang perbelanjaan dan menguruskan hutang dengan lebih baik.


MENDIDIK ANAK MENGENAI WANG


Bilakah masa yang sesuai untuk mendidik anak-anak mengenai nilai wang? Tidak ada jangka waktu tertentu tetapi eloklah dimulakan seawal yang boleh. Mendidik, menggalakkan dan memberi kepercayaan kepada anak untuk bijak berbelanja sejak kecil akan menanamkan tabiat kewangan yang baik. Untuk memulakan anak anda mengenal tanggungjawab kewangan, ada enam panduan mudah di sini:
Berikan mereka wang saku

Memberikan wang saku boleh membantu membina keupayaan anak merancang perbelanjaan. Bagi memutuskan berapa banyak yang perlu diberikan kepada mereka, fikirkan dengan teliti jenis perbelanjaan yang boleh digunakan untuk wang saku itu. Misalannya, bagi belanja sekolah, elok kalau anda pergi tinjau harga makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah sebelum memutuskan berapa banyak wang saku yang diperlukan oleh anak anda. Jika perlu, berikan wang saku dalam beberapa pecahan wang bagi menggalakkan mereka menabung. Misalannya, jika wang saku RM2, berikan anak anda wang kertas RM1 manakala selebihnya dalam bentuk wang syiling supaya dia boleh mengasingkan beberapa keping wang syiling untuk dimasukkan ke dalam tabung.


Tentukan matlamat yang realistik

Berbincanglah dengan anak anda mengenai matlamat mereka kerana itulah kunci kejayaan dalam menabung. Matlamat tabungan anak anda mungkin merupakan sejenis barang permainan yang istimewa, buku, basikal atau permainan Play Station yang terkini. Walau apa pun, matlamat itu mestilah realistik dan boleh menggalakkan mereka untuk menabung. Walau bagaimanapun, berbincang dengan mereka dahulu. Matlamat itu mestilah matlamat mereka, bukannya matlamat anda. Kemudian, tinjau kos barang yang hendak dibeli itu dan congak berapa banyak anak anda perlu menabung setiap minggu bagi membeli barangan tersebut dalam satu jangka masa. Pastikan ia munasabah...
Bagi anak yang masih kecil, alat pandang dengar boleh membantu. Gunting gambar yang diperlukan dan lekatkan pada sebuah balang. Sambil dia memasukkan wang ke dalam balang itu setiap hari, dia boleh tengok wangnya semakin bertambah dan tidak lama lagi bolehlah dia mencapai matlamatnya. Anak yang lebih besar boleh menyimpan rekod simpanan dalam buku nota dan buat pengiraan setiap minggu.



Didik mereka mengenai nilai pelaburan

Memulakan tabiat menabung dan melabur sejak awal merupakan kunci kepada perancangan kewangan yang berjaya. Jika boleh, setiap kali anda ke bank untuk berurusan atau untuk melabur dalam unit amanah, bawa sekali anak-anak dan bukalah akaun simpanan untuk mereka. Laburkan sebahagian daripada wang simpanan mereka dalam dana amanah dan ajak mereka sama-sama melihat perkembangan pelaburan itu.
Walau bagaimanapun, jangan halang hak anak anda untuk mengeluarkan sedikit wang simpanan atau pelaburan mereka untuk membeli sesuatu kerana, jika anda menghalang mereka, mungkin akan melemahkan minat mereka untuk menabung atau melabur. Yang perlu dilakukan ialah memberitahu mereka bahawa jika wang simpanan dikeluarkan sebelum matlamat mereka tercapai, maknanya lebih lamalah masa yang akan diambil untuk mencapai matlamat mereka. Jika mereka mengeluarkan simpanan setelah mencapai matlamat mereka, itu juga merupakan pilihan mereka sendiri. Pendek kata, tak kiralah sama ada mereka mahu mengeluarkan wang simpanan sebelum mencapai matlamat mereka (sekiranya berlaku kes kecemasan atau ada barang yang mereka perlukan segera) ataupun tidak, terpulanglah kepada mereka keputusan sepenuhnya dan untuk mereka memahami kesan mengeluarkan wang itu pada masa tersebut.

Simpan rekod kewangan yang baik
Galakkan anak-anak anda menyimpan resit pembelian buku, permainan atau barangan lain dalam sampul surat atau menyimpan jurnal perakaunan yang mudah bagi membolehkan mereka menjejaki perbelanjaan dan tabungan mereka. Ini boleh menanamkan tabiat merekodkan perbelanjaan supaya mereka boleh belajar mengurus kewangan mereka secara sistematik pada masa hadapan.

Contohnya:
Matlamat : Ingin membeli Buku Cerita
Harga : RM25.90
Minggu 1
Elaun Harian

Contohnya
Wang yang dibelanjakan

Contohnya
Jumlah
Contohnya
(RM)
Wang yang disimpan

Contohnya
Isnin
RM3.00
  • Makanan
  • Alat tulis
RM2.30
RM0.70
Selasa




Rabu




Khamis




Jumaat




Sabtu




Ahad




Jumlah





Izinkan anak-anak mengatur sendiri perbelanjaan mereka

Belajar berbelanja secara bijak membabitkan beberapa percubaan dan kesilapan. Sama ada keputusan berbelanja yang mereka ambil itu baik atau tidak, mereka perlu belajar daripada pilihan mereka sendiri. Sebagai ibu bapa, anda boleh mengajak mereka berbincang secara terbuka mengenai kebaikan dan keburukan sebelum mereka berbelanja. Galakkan anda membuat sedikit tinjauan sebelum berbelanja besar atau menunggu masa yang sesuai untuk membeli, misalannya ketika jualan murah.


Tunjukkan contoh yang baik

Akhir sekali, sebagai ibu bapa, tunjukkan contoh yang baik melalui pengurusan kewangan anda sendiri yang baik dan bijak. Elakkan pembelian yang tidak dirancang atau mengejut. Elakkan daripada banyak membuat hutang tidak perlu, contohnya hutang kad kredit. Sama ada baik atau buruk, anak-anak belajar bagaimana menguruskan wang daripada ibu bapa mereka. Seperti kata pepatah, “Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Oleh itu, mendidik anak anda tentang pengurusan wang yang baik serta menunjukkan pula contoh yang baik, pasti akan mendorong mereka berjaya mengendalikan kewangan mereka sendiri. 

Mulakanlah sekarang!


Search This Blog

Contributors

Pages